Pada 10 Jun 2025, satu Majlis Penyerahan Cek Cura berjumlah RM40,000 telah berlangsung di SMK St. Mark. Dana ini disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU), sebagai sokongan kepada pembangunan pendidikan di sekolah berkenaan.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Pendidikan, Puan Fadhlina Sidek, dan turut dihadiri oleh Tuan Haji Mohammad Dziauddin Bin Mat Saad, Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.
Dalam majlis berkenaan, Pengetua SMK St. Mark, Puan Shanti A/P Tecthnamoorthy, telah membangkitkan beberapa isu utama yang dihadapi oleh pihak sekolah. Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan yang bersifat proaktif sebagai langkah ke hadapan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kemudahan pendidikan di sekolah tersebut.
Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan pihak Kementerian dan agensi berkaitan dalam memperkukuh sistem pendidikan negara melalui kerjasama erat dengan institusi pendidikan di peringkat akar umbi.













